Sherry sahut cabaran Nyonya



Kembali menjayakan teater Nyonya yang digabungkan dengan kisah Episod YB seharusnya menjadi tugas mudah buat pelakon berbakat, Sherry Abdullah Al-Hadad, 30.

Ini bukan kali pertama Sherry beraksi untuk pementasan Nyonya yang dipentaskan tujuh kali sebelum ini. Kali pertama sewaktu dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Oktober 2004.

Melihat Sherry beraksi sebagai Nyonya, ramai yang memuji. Saiz badan bukan ukuran, sebaliknya keyakinan dan lakonan bersahaja ditampilkan di pentas membuatkan ramai jatuh cinta pada watak Nyonya dan membolehkan ia dipentaskan saban tahun.

Kembali menyahut cabaran pengarah teater ini, Rosminah Tahir dan penerbitnya Citra Production, Sherry menjelaskan, pada pering-kat awal dia berat hati menerima tawaran diberikan.

“Saya sebenarnya takut untuk kembali menjayakan watak Nyonya. Apa yang saya fikirkan adalah kemampuan diri. Lagipun, hampir 10 tahun saya tidak berlakon teater Nyonya.

“Terus-terang, sewaktu kali pertama menjayakan watak Nyonya, berat badan saya kurang dan tidak berlebihan seperti sekarang.

“Apabila beraksi di pentas teater, yang penting adalah stamina. Saya takut berat badan yang semakin bertambah ini membuatkan saya tidak mampu bertahan apabila beraksi,” katanya ketika ditemui di majlis prebiu Diari Wanita... Episod YB & Nyonya, baru-baru ini.

Sementalah lagi, jelasnya, untuk memegang watak Nyonya, banyak perkara harus dititik beratkan. Pertamanya penampilan, gaya berjalan, sewaktu beraksi dan pengucapan dialog.

“Saya harus serasikan diri dengan semua ini, terutama apabila kostum memerlukan saya berkorset dan berkebaya sepanjang masa.

“Apabila tersarung saja kebaya, saya harus sentiasa dalam karakter yang memerlukan saya menjadi perempuan penuh santun.

“Mujur perkara itu bukan masalah besar kerana sebagai pelakon, apabila tersarung saja kostum, ibaratnya ‘roh’ pun masuk. Perasaan dan angan kena lebih. Saya ibaratkan apabila berkebaya, saya seperti Kim Kardashian,” katanya.

Teater Diari Wanita... Episod YB & Nyonya akan mula dipentaskan di Istana Budaya bermula 11 hingga 16 Februari ini. Turut menjayakan pementasan kali ini ialah Amy Mastura, Misha Omar, Juhara Ayob, Nad Zainal, Dina Nadzir dan Shahrul Mizad Ashari.

Sebaik selesai pementasan Nyonya, Sherry bakal menjayakan pementasan yang bakal diarahkan teman baiknya juga pelakon dan pengacara semakin mencipta nama, Zulin Aziz.

“Zulin bakal mengarahkan teater Tiga Janda dan saya menawarkan diri untuk membintanginya. Saya berbuat begitu bukan kerana dia kawan baik saya semata-mata, tetapi saya percayakan kemampuannya,” katanya.

Kata Sherry, sepanjang mengenali Zulin, dia menyifatkan rakannya kreatif dan mempunyai kelebihan dalam merealisasikan apa juga yang diangankan.

Sherry dan Zulin dilihat seakan-akan tidak boleh berpisah dan sering melakukan apa juga perkara bersama. Mengenai perkara itu, Sherry akui pada awal pembabitan, mereka memang sering dilihat bersama.

“Sekarang jika peminat sedar, saya dan Zulin mula membawa haluan masing-masing. Malah, Zulin kini lebih dikenali sebagai pengacara sementara saya lebih banyak berlakon.

“Cuma baru-baru ini kami digabung dalam beberapa drama bercorak komedi seperti Suami Sebelah Rumah yang diterbitkan JS Pictures dan terbaru kami akan terbabit dengan drama enam episod yang akan diarahkan Erma Fatima,” katanya.



Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay