Sisi serius Zizan,legasi Cicakman




ZIZAN RAZAK atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak sudah melangkah ke dalam dunia hiburan sejak mula menyertai program Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007.
Meskipun usia penglibatannya masih hijau dalam kancah dunia seni, namun pencapaian yang diraih jejaka berasal dari Dungun, Terengganu itu benar-benar berjaya memahatkan namanya setanding barisan aktor hebat yang lain meskipun membawa profil diri sebagai pelawak.
Namun, kemuncak popularitinya sejak kebelakangan ini agak tergugat oleh beberapa kisah yang sedikit kelabu untuk dipamer kepada khalayak. Mungkin itulah harga yang perlu dibayar untuk anak seni sepertinya sepanjang merentasi paras pasang surut karier seni.
Satu hal yang ketara, Zizan jarang membuka mulut bercakap tentang galau yang berserakan di dadanya. Berkesempatan menemu ramah pelawak, pelakon, penyanyi dan pengacara itu dalam sesi temu bual eksklusif di PNB Darby Park Executive Suites, PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini, memberi ruang kepada Kosmo! untuk berkongsi lanjut kisah terkini lelaki itu kepada umum.

BUKAN sudah bosan tetapi acap kali dimomokkan dengan watak kelakar membuatkan Zizan teringin mencuba pelbagai watak lain, khususnya karakter serius dalam lakonan.


Tidak kisah soal populariti
Sekitar penghujung tahun lalu, namanya pernah diheret dalam kancah kontroversi dunia hiburan, sementelah dikatakan berlakunya perselisihan faham dengan bekas pengurus syarikat miliknya, WireFame Entertainment Sdn. Bhd.
Tambah memburukkan keadaan, perselisihan tersebut berlanjutan ke mahkamah dan episod saman menyaman mula mengeruhkan keadaan.
Bukan hanya melibatkan karier, bahkan catatan hidup jejaka yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu kembali tergugat apabila kisah cinta bersama kekasih hati, pelakon Emma Maembong berantakan tidak lama selepas itu.
Bagaikan sudah tertulis rapi di atas kertas kehidupannya, Zizan akui, perkara tersebut datangnya sebagai ujian dan perginya sebagai pengajaran.
Namun, Zizan tidak memandang dugaan bertubi-tubi yang mencalar reputasi nama dan kariernya itu sebagai titik hitam, sebaliknya dia nekad untuk kembali bertatih sebelum gagah berdiri semula melawan deru arus cubaan di hadapan.
"Siginifikan popular itu tidak akan bererti kalau tiada bakat. Saya sangat berpegang bahawa populariti seseorang anak seni itu harus didahului dengan bakat, bukan rupa atau nama semata-mata.
"Itu menjadi rencah utama untuk sentiasa dihargai oleh peminat dan kekal menyinar dalam dunia seni yang tidak sah tanpa fenomena pasang surut.
"Kalau ditanya mengenai soal jatuh bangun saya sebagai seorang artis, saya tidak boleh memberi sebarang jawapan yang ampuh. Sebaliknya, apa yang saya boleh katakan, rezeki itu semuanya datang daripada Allah. Saya hanya mampu berusaha sekeras mungkin demi membina nama dan kepercayaan peminat.
"Saya tidak berapa kisah soal populariti tetapi untuk kerjaya sendiri, saya ada peraturan. Apa yang saya lakukan sekarang perlu seiring dengan peredaran zaman. Itu sangat penting kerana perkara itu berkait dekat dengan peminat. Jadi, berikanlah apa yang peminat kita suka, bukan apa yang kita suka," ujar Zizan panjang lebar.

ZIZAN bakal muncul dalam filem terbaharu terbitan KRU Productions Sdn. Bhd., Cicakman 3 yang akan ditayangkan di pawagam pada 12 Mac depan.


Jadi adi wira
Menyentuh soal filem terbaharunya, Cicakman 3 yang bakal ke pawagam bermula 12 Mac depan, Zizan berbesar hati memikul satu tanggungjawab meneruskan legasi watak adi wira tempatan itu.
"Sejujurnya, kalau ditanya perasaan saya ketika mendapat tawaran untuk memegang watak sebagai adi wira Cicakman, semua orang mempunyai jawapan yang sama. Sudah tentu saya sangat gembira, teruja, terkejut dan pada masa yang sama, berasa sedikit gementar.
"Saya memang pengikut setia filem Cicakman dan Saiful Apek pula merupakan pelawak kegemaran saya. Memang sangat terkejut ketika KRU Productions menawarkan watak Cicakman kepada saya. Ia bagaikan suatu mimpi di siang hari.
"Memang satu kesilapan jika saya tidak menerima tawaran berkenaan. Bukan memikirkan soal watak, nama atau imbuhan tetapi dalam hati, saya memang punya keinginan untuk membawa watak besar seumpama ini. Lagipun, filem Cicakman ialah produk kebanggaan pihak KRU Productions," ujar pelakon utama filem Abang Long Fadil itu.
Bercerita lanjut, kemunculannya sebagai adi wira dalam filem Cicakman 3 bukanlah untuk melupuskan ingatan peminat filem aksi komedi itu terhadap hero asalnya, Saiful Apek. Sebaliknya, dia hanya menjadi penyambung legasi kepada peninggalan karakter Saiful.
"Rasa teruja saya berpada-pada memandangkan keseronokan saya berlakon dalam filem ini sedikit terbatas kerana bimbang dibayangi oleh karakter Saiful yang dahulu. Saya tidak nafikan akan wujud perbandingan antara watak yang dibawa oleh kami berdua.
"Bukan hak saya untuk komen apa-apa kalau ada juga sesetengah pihak membuat perbandingan kelak. Itu semua terpulang kepada individu untuk menyatakan pendapat masing-masing. Bagi saya, kepada sesiapa yang mengikuti dua buah filem Cicakman terdahulu, maka mereka akan mengenal pasti kelainan, sekali gus menilai dengan mata hati kerja kami sebagai Cicakman.
"Saya berusaha keras untuk membawa watak tersebut dengan cara sendiri. Di tangan Yusry KRU dan Ghaz Abu Bakar selaku pengarah, mereka juga memastikan yang terbaik agar saya tidak dibayangi Saiful Apek," ujar Zizan yang pernah menyandang gelaran juara dalam rancangan Super Spontan 2012.
Idam watak baharu
Lahir dalam industri sebagai seorang pelawak, tidak hairanlah jika sifat komedi yang diketengahkan dalam kebanyakan filem dan drama lakonannya. Lumrah seorang anak seni, menguasai karakter yang sama bukanlah suatu kepuasan. Zizan kini memasang impian memburu karakter baharu sebagai variasi kerja lakonnya.
"Dalam filem Tokan dahulu, itulah kali pertama saya diberi kepercayaan memegang watak yang serius. Watak sebagai Mat Lobe dalam filem itu membuktikan bahawa saya juga boleh melakukan sesuatu di luar kebiasaan.
"Sudah lama saya pasang impian untuk berlakon watak romantik komedi. Kebiasaannya orang akan lihat saya sebagai seorang lelaki kelakar tetapi kali ini saya mahu berada di tengah-tengah antara watak kelakar dengan serius," getus Zizan yang bakal muncul dengan dua buah filem baharu, Polis Evo dan Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh tidak lama lagi.


Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay