Teknologi rumah pintar


TEKNOLOGI rumah pintar kawal kelengkapan di rumah dari jarak jauh.

Kuala Lumpur: Anda di pejabat atau sedang beriadah di luar rumah, tiba-tiba teringat paip gas memasak di rumah atau lampu masih tidak dimatikan. Apakah tindakan anda? Pulang ke rumah atau biarkan saja dengan bersangka tiada perkara buruk akan berlaku.

Situasi ini sememangnya biasa berlaku dalam kalangan kita yang kadangkala terlupa untuk melakukan perkara yang boleh mengelakkan pembaziran atau melindungi aset berkenaan daripada terdedah dengan ancaman kemalangan.

Namun, sejak kebelakangan ini pelbagai syarikat teknologi memperkenalkan rumah pintar yang mana pemilik kediaman boleh meninjau persekitaran rumah dan mengawal selia penggunaan elektrik hanya menerusi telefon pintar.

Perkembangan teknologi ini nampaknya semakin menular dalam pelaksanaan projek kediaman di Malaysia kerana ia menjadi salah satu cara yang boleh membantu pemaju memperkenalkan produk kediaman secara unik dan mengikut perkembangan semasa.
EzVille iaitu salah satu jenama asing yang mempunyai teknologi berkenaan dan di Malaysia ia diedarkan secara eksklusif oleh Somfy Pte Ltd.

Pengurus bagi pasaran Malaysia dan Brunei EzVille, Chua Kian Lin berkata, ketika ini situasi pasaran kediaman di Malaysia memerlukan sesuatu yang baru di dalam konsep pembinaannya yang mana bukan sekadar mewujudkan satu ruang untuk didiami pembeli, tetapi perlu mewujudkan satu keperluan baru iaitu teknologi rumah pintar.

Beliau berkata, teknologi rumah pintar mudah untuk digunakan bagi satu kawasan berpagar atau mempunyai komuniti tersendiri seperti kondominium atau apartment.
“Ini kerana, satu sistem induk akan diwujudkan dalam kawasan perumahan itu bagi memudahkan pengurusan rumah pintar dilakukan oleh pihak pengurusan.
“Sistem bersepadu rumah pintar ini mempunyai banyak manfaat sama ada kepada pemilik kediaman atau pihak pengurusan kediaman terutama boleh mengurangkan tenaga kerja manusia,” katanya.

Antara manfaat daripada pemasangan sistem rumah pintar ini ialah pemilik boleh mengawal selia penghawa dingin sistem dan elektrik menerusi aplikasi gajet pintar, membuat pesanan atau nota kepada pihak pengurusan hanya menerusi skrin yang disediakan, membuat tempahan penggunaan gym, sauna atau pembelian barang runcit.

Chua berkata, bagi kos pemasangan sistem rumah pintar ini lebih murah sekiranya kerjasama dengan pemaju perumahan diadakan kerana kos produk akan dimasukkan terus dalam nilai penjualan rumah kepada pembeli.

“Sekiranya ia dipasang mengikut rumah individu akan lebih mahal kerana dianggarkan harga minimum bagi satu kediaman saja bagi sistem asas boleh mencecah RM30,000.
“Pasaran kediaman Malaysia ketika ini ke arah sistem perumahan lebih berteknologi sama seperti yang berlaku di Korea sejak tahun 2007 kerana di negara berkenaan, sekiranya sistem rumah pintar tidak diwujudkan, ia akan mengurangkan permintaan pembeli kerana masyarakat kini ingin sesuatu yang mudah dan memberi perlindungan kepada mereka,” katanya.

Katanya, pihaknya melihat penggunaan sistem rumah pintar akan berkembang di banyak projek kediaman di Malaysia dalam tempoh lima tahun kerana ketika ini terdapat banyak syarikat pemaju mula ke arah penyediaan teknologi itu kepada pembeli.

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay