Chong Wei perlu tunggu tiga minggu lagi



Chong Wei perlu tunggu tiga minggu lagi
Datuk Lee Chong Wei dijangka mengetahui nasibnya berhubung kes doping, dalam tempoh tiga minggu lagi.
KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dijangka mengetahui nasibnya berhubung kes doping, dalam tempoh tiga minggu lagi.

Anggota Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Jadadish Chandra yang mengiringi jaguh badminton negara itu, memberitahu bahawa prosiding kes yang didengar panel tiga anggota iaitu dua dari Eropah dan seorang dari India,  mengambil masa kira-kira lapan jam di bilik Saturn Hotel Sheraton Lapangan Terbang Amsterdam, Belanda.

Proses pendengaran dipercayai diadakan kira-kira lapan jam bermula 9.25 pagi Sabtu (3.25 petang waktu tempatan).

"Prosiding pendengaran kes berakhir hari ini, keputusan akan diumumkan dalam tiga minggu. Prosiding dijalankan di hadapan tiga anggota panel...biasanya keputusan boleh diketahui dalam tempoh tiga hari tetapi saya tidak tahu, mengapa ia mengambil masa tiga minggu untuk kes ini.

"Setakat ini, kami tidak mempunyai tempoh khusus bila keputusan akan diumumkan," katanya.

Jadadish berkata tarikh hari ini (11 April) tidak mungkin menyaksikan berakhirnya prosiding kes berkenaan kerana BAM atau Persekutuan Badminton Dunia (BWF) boleh merayu terhadap keputusan panel tersebut kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan di Zurich.

Selain Jadadish, turut menemani Chong Wei ialah Pengurus Besar BAM Kenny Goh dan peguam sukan terkemuka, Mike Morgan yang dilantik oleh BAM untuk mengendalikan kes tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga mengesahkan bahawa keputusan kes itu akan diketahui dalam tempoh tiga minggu.

"Dapat maklumat terkini daripada @LeeChongWei di Amsterdam. Prosiding tatatertib BWF selesai.

Keputusan dalam tempoh 3 minggu. Sekarang hanya tunggu," kata Khairy dalam laman twitternya.

Chong Wei, 32, kini digantung oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang itu ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos tahun lepas dan boleh digantung sehingga dua tahun jika didapati bersalah.

Berkuat kuasa 1 Jan tahun ini, BWF meminda peraturan dopingnya dan mereka yang disahkan mengambil bahan terlarang boleh digantung sehingga empat tahun.

Sementara itu, Chong Wei dalam catatan terbaharunya dalam laman Facebook beliau, berkata: "Pendengaran (kes) baru selesai, keputusan akan diumumkan dalam masa tiga minggu lagi."

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay