Mama Juwie meninggal dunia


BEKAS wartawan hiburan, Juwie atau nama sebenar, Abdul Jalil Salleh.
KUALA LUMPUR : Kolumnis hiburan BH, Juwie, 62, meninggal dunia kira-kira jam 10.30 malam tadi di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, dekat sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.

Juwie atau nama sebenarnya Abdul Jalil Saleh, terdahulu dimasukkan ke Pusat Pakar Perubatan HUKM pertengahan Mac lalu dan menjalani rawatan penyakit berkenaan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) apabila kesihatannya tidak stabil.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga dan jenazah akan dikebumikan di sebelah pusara ibunya di Selayang, dekat sini esok.
Juwie memulakan perkhidmatannya sebagai wartawan di akhbar Berita Harian pada tahun 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984.
Semasa di Utusan Malaysia beliau terkenal apabila mengendalikan ruangan hiburan iaitu Auw! Juwie menerusi sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Allahyarham kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Editor Majalah Mangga pada tahun 1995 di syarikat yang sama sehinggalah bersara pada 8 Julai 2008.
Selepas persaraan itu, Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar menawarkannya untuk menjadi kolumnis hiburan di akhbar Berita Harian pada setiap hari Sabtu yang dikenali Auw Juwie!
Selain bergelar wartawan, Juwie turut aktif dalam bidang penulisan lirik untuk penyanyi terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.
Antara karya popular beliau adalah Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (Ramlah Ram) Bila Rindu Ku Sebut Namamu (Siti Fairuz), Sampai Hati (Spring), Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), Masih Aku Terasa (Gersang) dan Meraung (New Boyz) dan Kad Ucapan (Norsheila Amin).
Juwie pernah menjuarai Juara Lagu pada tahun 1988 bersama komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu nyanyian Ramlah Ram.
Beliau juga pernah menghasilkan novel iaitu Sampai Hati.
Populariti Juwie itu menyebabkan kumpulan rock Bumiputra Rockers (BPR) menulis lagu khas untuk Allahyarham iaitu Juwie Juwie Juwie yang dimuatkan dalam album Selamat Pagi Malaysia yang diterbitkan pada 1987.
Semasa bersara, Juwie banyak menghabiskan masanya dengan aktiviti-aktiviti keagamaan.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.
Sumber : Berita Harian

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay