Home »
» 4 cara paling selamat membeli-belah atas talian
4 cara paling selamat membeli-belah atas talian
By AuRa FM
Membeli-belah di atas talian kini menjadi sebahagian dari kehidupan kita, malah perkara ini telah membuka lembaran baru dalam sektor perniagaan di negara kita.
Pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh kebanyakan orang dari industri perniagaan atas talian ini, namun apa yang membimbangkan ialah kes penipuan siber yang melibatkan produk tiruan, transaksi bayaran atau kualiti sesuatu produk.
Dengan acara jualan atas talian #MYCyberSALE berlangsung mulai hari ini, mari kita melihat empat cara yang selamat ketika berurusan atas talian.
1. Identiti, lokasi dan butiran berhubung peruncit elektronik perlu dikenal pasti
Sebelum melakukan sebarang urusan atas talian, identiti peruncit elektronik berkenaan perlu dikenal pasti. Seseorang pembeli harus perlu memastikan bahawa mereka sedang berurusan dengan jenama peruncit elektronik yang dikenali, sebagai contoh; Zalora dan Lazada.
Bagaimanapun, untuk menentukan identiti peruncit atas talian yang kurang popular, pembeli harus mendapatkan nama, nombor pendaftaran syarikat untuk negara anda, butiran perhubungan yang termasuk e-mel, alamat pos dan nombor telefon serta petunjuk yang jelas di mana ibu pejabat syarikat itu terletak.
2. Dapatkan maklumat lanjut mengenai reputasi syarikat
Selepas mengenal pasti identiti sesebuah peruncit elektronik, pembeli harus memastikan syarikat itu mempunyai reputasi yang baik di kalangan pembeli atas talian.
Anda harus membaca ulasan pembeli yang pernah berurusan dengan peruncit berkenaan untuk mengetahui kelebihan serta kelemahan perdagang berkenaan. Hal ini kerana, kadang- kala sesebuah peruncit yang reputasi baik mungkin berhadapan dengan masalah perkhidmatan seperti penghantaran yang lambat atau penjualan produk yang tidak berkualiti.
Jadi, ia adalah penting untuk mengetahui ulasan berkenaan peruncit atas talian untuk mengelakkan diri dari isu pembelian atas talian.
3. Guna laman web selamat jika melakukan pembayaran atas talian
Sebaik sahaja anda berpuas hati dengan syarikat berkenaan, pembeli atas talian harus memastikan bahawa butir-butir kad kredit diproses menggunakan sambungan yang selamat.
Sambungan enkripsi selamat yang sering digunakan ialah Secure Sockets Layer (SSL).
SSL menyulitkan data supaya maklumat berkenaan tidak dapat dibaca oleh sesiapa sahaja yang ingin mengodam laman tersebut.
Antara perkara yang boleh diberi perhatian URL sesebuah laman. Layari laman yang mempunyai https kerana tanda "S" menunjukkan laman web tersebut mempunyai 'security' .
4. Rekod butir pembelian
Butir-butir seperti masa, tarikh, nombor resit dan pengesahan pesanan perlu direkodkan oleh pembeli sebagai satu bentuk bukti pembelian.
Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood sebelum ini mengesahkan bahawa, semua peruncit elektronik yang terlibat dalam jualan talian #MYCyberSALE telah melalui penapisan keselamatan, di mana mereka bebas dari senarai hitam serta mempunyai reputasi yang baik.
Pembeli atas talian akan berpeluang untuk memilih tawaran promosi melibatkan pedagang tempatan serta pedagang elektronik global dari 28 September hingga 2 Oktober depan.