Gemilang rockers


Terasa seperti kembali berada pada era kegemilangan muzik rock tahun 1980-an dan 1990-an.
Gegendang telinga dihiburkan dengan lagu-lagu rock lama, sekali gus terimbas kembali nostalgia
suatu ketika dulu.

Bahkan kehadiran sekumpulan penyokong setia muzik rock dari Sabah yang dikenali sebagai
Rockers Sabahan mewarnai lagi majlis hibur santai bersama Rockers Apa Khabar di Ruang Santai
Terbuka Restoran Gulam Mee di Kota Damansara, baru-baru ini.

Gaya rambut panjang mengerbang, seluar ketat dengan kasut sukan ‘hi-cut’ serta tali pinggang
berantai sudah cukup menggambarkan obsesi mereka dengan irama yang pernah menguasai
dunia muzik tanah air suatu ketika dulu.Malah, tidak keterlaluan dikatakan lagu-lagu nyanyian
mereka masih segar dan kekal diminati ramai serta sering dimainkan di setiap stesen radio
sebagai tarikan menarik pendengar.

Antara band rock lama yang membuat persembahan ialah Ababil, Senna, Lipan Bara, Qiara, Fantasia,
Sakura, Sniperz, Trimmer, Sutera, Lan Gamma And Superman, Lestari, Azimat dan Baji.
Usaha menyatukan mereka dilakukan IBAR Resources yang menghasilkan program berjudul
Rockers Apa Khabar.

Musim pertama program 13 episod ini sudah disiarkan menerusi TV2, baru-baru ini.
Pada usia yang boleh dianggap ‘senior’, semua anggota band ini masih bertaring ketika beraksi
di atas pentas. Masing-masing berusaha menampilkan skil tersendiri untuk tatapan penonton
dan berjaya menarik lebih 3,000 penonton.Apatah lagi peminat juga tidak berganjak menyaksikan
persembahan ini sejak awal sehingga persembahan pe­nutup dari kumpulan Lestari pada jam 1 pagi.

Selain mereka, kehadiran band seangkatan seperti Dinamik, Gravity, Lela, Putra, CRK, Junction,
Samudera, Pearl, Handy Black, Wicitra dan Bloodshed turut memeriahkan lagi majlis yang julung kali
diadakan.Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama PRISM Malaysia Berhad,
Pertubuhan Apa Khabar Rockers (PAKaR), Sound Audio Manufacturing Rockers Apa Khabar (SAMRAK)
dan Gulam Mee Sdn Bhd sebagai penaja pentas, sistem bunyi dan lokasi.

Terdahulu, diadakan penyerahan sijil Rockers Apa Khabar musim pertama dan acara memotong
kek oleh Penerbit Rockers Apa Khabar, Mazlan Hassim (Lan Gamma) bersama Presiden PRISM,
Anuar Dahlan dan Pengarah Program Radio RTM Dr Nawiyah Che Lah.

Ia dibuat berikutan kejayaan program ini yang diiktiraf sebagai Program Terbaik (Hiburan)
RTM 2014 serta program Rock Selamber kendalian Galaksi Muzik FM yang diiktiraf sebagai
Program Radio Terbaik RTM 2014.

Rockers Apa Khabar musim pertama dirakam di Stadium Putra Bukit Jalil dan menampilkan 13 artis band
rock era berkenaan seperti Satira, Burnmark, Junction, Sejati, EYE, Samudera, U-Topia, CRK, Graviti,
Bloodshed, Lela, Putra dan Meditasi.Peminat yang hadir menonton tentunya pulang dengan perasaan
puas kerana dapat menikmati lagu-lagu popular setiap band secara langsung depan mata.

Ramai dalam kalangan mereka masih menghafal lirik lagu nyanyian band terbabit seperti lagu Cinta
Belum Berakhir nyanyian Ababil dan Mahligaimu Dari Airmataku nyanyian Lestari.

Medan untuk kembali berkarya
Penyanyi Ababil, Ajid melahirkan perasaan teruja kerana dapat kembali beraksi di pentas selepas
20 tahun berehat.
“Sebelum ini saya beraksi pada konsert Fenomena Rock 2 pada 2011, tapi suasananya tak semeriah ini.
Ikutkan hati memang tak puas hanya menyanyikan dua lagu tapi saya tetap berusaha memberikan
persembahan terbaik buat peminat yang hadir.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, sekali gus membakar semangat untuk kami kembali
aktif menyanyi. InsyaAllah kami merancang nak buat single nanti,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBAR merangkap Penerbit Eksekutif Rockers Apa Khabar,
Megat Syafnir Farree berkata, sambutan hebat penonton terhadap program Rockers Apa Khabar
musim pertama sudah cukup membuktikan muzik rock masih diterima.

“Pengiktirafan dari RTM dah cukup menunjukkan kekuatan program ini serta pengaruh muzik
rock era 80-an dan 90-an dalam kalangan peminat.
“Matlamat saya sekarang ialah untuk naikkan semula kegemilangan muzik rock dalam industri hiburan
tempatan. Lagu-lagu mereka sering dimainkan di radio tapi agak mengecewakan kerana mereka
tak diberi peluang terbabit dalam program TV,” katanya yang akan menyambung Rockers Apa Khabar
untuk musim kedua.

Sementara itu, Anuar Dahlan berkata PRISM mahu membantu kalangan artis rock menerusi medium
baru yang dinamakan Waach.com.
“Fungsinya sama seperti YouTube dan Dailymotion. Kami akan rakam persembahan artis ini dan
masukkan dalam Waach.com. Ini adalah pentas untuk mereka cari keuntungan menerusi iklan
royalti yang diberikan,” katanya.



AKSI-AKSI menarik band yang membuat persembahan.

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay