KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama kurang aktif melukis untuk majalah humor tempatan, kartunis tersohor yang dikenali dengan nama Ujang kini kembali melukis.
Mereka yang membaca majalah Gila-Gila dan Ujang, pastinya akan mengingati watak Atuk, Ujang dan Aca.
Peminat-peminat kartunis asal dari Juaseh, Kuala Pilah itu akan mengingati siri Aku Budak Minang, Intelligent Blues Club (I.B.C) dan novel Jibam yang pernah dihasilkannya dahulu.
Kalau dahulu, beliau lebih dikenali dengan watak-watak yang dilukis di atas kertas, namun kini, Ujang melakarkan watak-watak kartunnya di kepingan emas.
Kerjasama dengan syarikat Nubex.my - sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan emas dan perak - Ujang merupakan kartunis tempatan pertama menghasilkan kartun di atas kepingan emas.
Pemilihan Ujang kerana kartunis itu sendiri mempunyai ramai peminat dan diyakini mampu menarik perhatian pembeli.
Bagi Ujang sendiri, peluang yang diberikan itu amat bermakna dan beliau sangat teruja untuk melukis di kepingan emas. Malah kata beliau, peluang yang diberikan oleh Nubex itu membuatkan semangat untuk melukis datang kembali.
"Saya akui sangat teruja dengan apa yang ditawarkan oleh Nubex untuk melukis di atas kepingan-kepingan emas.
"Setakat ini hanya lima karya yang dikeluarkan tetapi saya dan Nubex mengikat perjanjian untuk menghasilkan sepuluh karya bagi kepingan emas yang dikeluarkan," katanya selepas majlis pelancaran Ujang Gold Bar series di salah sebuah hotel di Damansara baru-baru ini.
Selain melukis di atas kepingan emas keluaran Nubex, Ujang, yang memulakan kerjaya sebagai kartunis di majalah Gila-Gila pada tahun 1982, kini memberi perhatian kepada beberapa siri animasi.
Namun, beliau menjelaskan akan hanya aktif melukis untuk animasi bukan untuk menerbitkan majalah seperti dahulu lagi.
"Animasi ada yang telah siap dan ada juga yang masih dalam proses pembikinan, saya cuma akan aktif untuk animasi, untuk majalah tidak lagi," katanya yang mungkin ada alasan tersendiri untuk tidak lagi aktif menerbitkan majalah.
Untuk kepingan emas yang dihasilkan bersama Nubex, Ujang berharap peminat-peminat beliau dapat membeli kepingan emas tersebut untuk disimpan sebagai koleksi kenangan.
Bagi mereka yang berminat dengan kepingan emas yang dihasilkan Ujang, boleh lawati laman web Nubex di www.nubex.my