AURAFM terpampang di akhbar New Sabah Times

Rahman perkenal single ‘Jika Benar Cinta Berputik’



PENYANYI yang kini sedang mencipta nama dalam arena seni hiburan tempatan Sabah, Abdul Rahman Daud atau lebih dikenali sebagai Rahman JBCB, kelahiran Pulau Sebatik Tawau Sabah, tampil dengan single bertajuk ‘Jika Benar Cinta Berputik’.

Rahman, 38 tahun sebenarnya sudah lama menyanyi, cuma namanya mungkin tidak terlalu menonjol sebelum ini, sehinggalah single itu mulai diperdengarkan kepada peminat seni.
Penulis lirik dan pencipta lagu JBCB juga merupakan antara orang-orang yang sudah lama bertapak dalam dunia seni hiburan tempatan.

Lagu ‘Jika Benar Cinta Berputik’ merupakan ciptaan MrDD Studio, manakala Putra Hafiez EK Rocasia (Joe Rocasia) pula bertindak sebagai penulis liriknya, dan sesi pembikinan muzik lagu tersebut dibuat sepenuhnya di Smiles Studio dan Meriah Record.
“Saya mulai bergiat dalam seni sejak di bangku sekolah dan minat terhadap bidang ini memang sudah agak lama, malah saya sendiri pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi penghibur kelak, semoga ini menjadi laluan yang luas kepada saya kelak,” kata Rahman.

Menurutnya, ‘orang penting’ atau pendorong utama untuknya bergiat secara aktif dalam bidang itu sudah tentulah ahli keluarga termasuk adik-beradiknya selain turut menerima reaksi positif rakan-rakan seperjuangan yang turut sama bergiat aktif dalam bidang seni muzik tanahair.

Bercerita mengenai JBCB, Rahman memberitahu bahawa lagu itu kini sedang berada di dalam program RTM menerusi Carta Lagu Artis Pantai Timur (CLAPT) kelolaan Sandakan FM pada setiap Sabtu bermula jam10 pagi. “Selain itu, JBCB juga kerap berkumandang di radio-radio tempatan, swasta dan termasuklah juga radio online di seluruh Malaysia,” kata pemuda berbintang Pisces itu.
Antara yang menarik mengenai lagu tersebut selain muziknya yang kedengaran seolah-olah lagu Rock Kapak zaman 90an, JBCB turut menggunakan khidmat pemain gitar kumpulan Junction, Omma Akira.

Ditanya mengenai perkembangan dirinya dalam seni pula, kata Rahman, selain sibuk menyiapkan album penuh dan mencari idea untuk menghasilkan lagu-lagu baharu, dia kini banyak terlibat dengan acara persembahan di sana-sini bersama dengan artis tempatan lain.

“Terima kasih kepada semua ahli keluarga yang selama ini banyak memberi dorongan kepada saya, tidak lupa kepada rakan-rakan di sana-sini, teristimewa buat radio-radio online seperti Kopstarfm, Aurafm, Siukfm, Lyanafm, Revolusi Sayangkufm, Irasfm, Mybro Stationfm, Tambunanfm, Mahligaifm, Sabahfm, Tawaufm, dan Sandakanfm.

“Tidak lupa buat pihak New Sabah Times (Hiburan NST) yang tidak putus-putus membuat liputan mengenai artis-artis tempatan Sabah,” katanya.

Justeru, Rahman berharap agar semua pendengar sama ada golongan muda atau dewasa dapat menerima lagu JBCB seadanya kerana lagu itu sangat sesuai didengar oleh semua peringkat umur.
“Semoga anda semua terhibur dan teruskanlah menyokong karya-karya orang kita yang asli, hindari budaya cetak rompak” katanya mengakhiri perbualan bersama Hiburan NST.

16th April, 2016
OLEH JOANES ROBERT JOHNNY (joanes@newsabahtimes.com.my)

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay