Siapa yang tak kenal dengan penyakit stroke? Kemungkinan ada di antara sanak saudara terdekat anda mengalaminya. Kalau di negara kita, penyakit ini tersenarai dalam 3 penyakit pembunuh utama selain jantung dan kanser.
Akan tetapi, ramai yang tidak tahu tubuh akan memberi isyarat bahawa seseorang akan terkenastroke yang dikenali sebagai mini stroke. Mini stroke atau yang disebut juga Transient Ischemic Attacks (TIA) memberikan tanda-tanda yang sama seperti ischemic stroke.
Ia akan terjadi dalam tempoh lebih kurang 5 minit sahaja dan tidak akan menyebabkan kerosakan otak seperti stroke. Kajian menunjukkan 1 daripada 3 orang yang mengalami stroke akan mengalami gejala mini stroke dahulu dalam tempoh 7 hari sebelum serangan stroke sebenar.
Namun, sayangnya ramai yang ambil tak endah dengan gejala ini. Jadi, apa kata kita mula ambil tahu sedikit tentang gejala-gejala mini stroke ini sebagai persediaan:
1. Tiba-tiba susah untuk bercakap, keadaan seperti anda gagap dan sukar mengeluarkan kata-kata.
2. Tiba-tiba sukar untuk melihat, sama ada terjadi pada salah satu mata atau kedua-duanya sekali secara mendadak.
3. Bingung dan terpinga-pinga untuk seketika, padahal sebelumnya anda aktif dan mudah memahami situasi.
4. Pening kepala yang bersangatan, padahal sebelumnya tidak ada apa-apa masalah.
5. Anggota badan mati seketika, yang paling mudah terkena ialah muka, lengan dan kaki secara mendadak. Pesakit tiba-tiba merasa kebas di bahagian tersebut dan tidak dapat rasakan pergerakan anggota badan.
6. Tiba-tiba hilang daya keseimbangan badan, pesakit akan terasa sukar nak pusingkan badan ke arah berlainan, mudah jatuh dan ada situasi yang menyebabkan pesaki terus tidak boleh berjalan.
Jika anda atau ahli keluarga anda atau rakan-rakan anda mengalami gejala-gejala seperti ini, bolehlah terus rujuk kepada doktor pakar.
Antara faktor-faktor mendorong kepada mengalami gejala mini stroke atau TIA ini ialah:
Mempunyai penyakit jantung, dan ramai yan tak sedar mereka mengalami penyakit jantung.
Ada anggota keluarga yang pernah mengalami stroke, jadi perlu berhati-hati walaupun stroke bukan penyakit keturunan.
Tekanan darah tidak normal, tekanan darah sekejap naik sekejap turun. Anda boleh rasa sendiri contohnya jika anda cepat gemuruh walau tidak ada apa-apa berlaku.
Kolesterol tinggi, berkaitan dengan pemakanan seharian yang mengandungi minyak berlebihan. Kurangkanlah sebelum terlambat.
Diabetes, atau sinonim dengan masyarakat kita dengan penyakit kerat kaki iaitu kencing manis, akibat gula berlebihan.
Obesiti, kalau anda pergi semak dengan Institut Jantung Negara pun anda akan lihat ramai pesakit di sana adalah obesiti.
Merokok, tak nak tegur, jangan tunggu dah bersedia baru nak berhenti. Dah terlantar atas katil wad baru nak menyesal, itu terlambat sudah.
Ingat! Stroke tidak mengenal usia!