Home »
» Mengembalikan mood yang hilang.
Mengembalikan mood yang hilang.
By AuRa FM
TIADA siapa di muka bumi ini yang menjalani hidup tanpa sebarang masalah. Cuma bagaimana cara masing-masing menangani dan berhadapan dengan masalah tersebut berbeza antara satu sama lain.
Adakalanya, masalah yang dihadapi memang betul-betul mencabar kesabaran dan berasakan bahawa ia tidak adil untuk diri anda.
Apabila semua itu berlaku, anda pasti tidak mempunyai mood atau semangat untuk meneruskan kerja atau aktiviti harian. Mood tidak baik itu akan dapat dilihat pada ekspresi wajah anda dan tanpa disedari membiarkan mood tersebut menguasai diri seterusnya memberi impak kepada orang lain.
Tahukah anda apabila mood anda tidak baik ia bukan sahaja memburukkan rupa anda malah menurut kajian, ia turut akan merendahkan sistem imunisasi tubuh. Dan apabila sistem imunisasi menurun anda kini lebih terdedah kepada pelbagai penyakit.
Panduan di bawah boleh menaikkan semula mood yang hilang seterusnya membakar semangat untuk hidup dalam suasana yang lebih sihat, ceria dan harmoni.
Ketawa ubat terbaik
Terapi ketawa sebenarnya dizahirkan oleh seorang ahli terapi yang bernama Norman Cousins. Istimewanya, kajian menunjukkan apabila seseorang ketawa, ia menghasilkan imunisasi tubuh dengan tinggi terutamanya sel semula jadi yang melindungi tubuh daripada penyakit kanser.
Apabila seseorang ketawa, otak menghasilkan hormon endorfin yang melengkapkan rasa penuh yakin dalam diri. Dan boleh dikatakan individu yang ceria mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding individu yang hidup dalam tekanan. Jadi, jika anda 'tak ada mood', pergilah tonton filem komedi atau baca komik kegemaran anda dan ketawa.
Terapi sentuhan
Sentuhan manusia memang menghasilkan pengeluaran hormon seperti endorfin dan DHEA yang memanjangkan usia dan merendahkan kesan tekanan.
Kajian menunjukkan, pesakit yang sering mendapat sentuhan dari orang tersayang lebih cepat sembuh dari perasaan sedih berbanding mereka yang tidak mendapat apa-apa sentuhan dari sesiapa.
Jadi, jika sahabat atau pasangan anda 'tidak ada mood', berikan mereka satu pelukan ikhlas dan secara tidak langsung mood anda berdua juga akan lebih baik.
Jana 'hormon muda' anda
Tidak perlu makan pelbagai jenis pil untuk kelihatan muda. Kajian membuktikan bahawa dengan dengan posisi bertinggung dan kaki menekan ke bawah akan menambah 'hormon muda' anda secara semula jadi. Lakukan posisi tersebut bersama senaman seperti angkat berat, bangkit tubi dan mendayung untuk menceriakan diri.
Tarik nafas dan lepas dengan dalam dan cara yang betul
Cara pernafasan yang betul amat penting untuk mengeluarkan toksin dan kotoran dalam badan anda. Mengikut kajian, dianggarkan bahawa seseorang manusia itu mengeluarkan kira-kira 30 peratus toksin dalam badan menerusi sistem pernafasan. Pernafasan yang betul juga membantu anda melapangkan fikiran, mengembalikan kecergasan dan menaikkan mood. Latih cara pernafasan dengan senaman seperti tai chi, yoga dan senaman lain.
Hidu bauan yang sesuai
Kajian membuktikan bau bauan mempunyai impak ke atas tubuh badan dan fikiran manusia. Apabila anda memberikan stimulasi kepada sistem saraf menerusi hidu bau yang wangi dan segar anda telah mengaktifkan sistem limbik yang ada di otak anda.
Sistem limbik ini amat berkait rapat dengan mood dan ingatan anda. Justeru, jika anda tiada mood, cubalah menghidu bauan aroma terapi seperti bunga jasmin, pohon eucalyptus atau anggur khusus untuk membangkitkan mood anda. Caranya dengan meletakkan sedikit pati minyak aroma terapi tersebut di poin akupuntur atau boleh juga di belakang tengkuk. Cara lain, titikkan minyak aroma terapi di dalam air panas yang dididih kemudian hidu wap tersebut. Pasti berbeza.
Khasiat bunga
Mengikut kajian bunga mampu memberikan keceriaan kepada orang sakit, sebab itulah kita digalakkan membawa bunga ketika melawat orang sakit. Warna bunga yang ceria mempunyai daya untuk mengubah mood kepada yang lebih baik. Dalam satu kajian yang pernah dijalankan, seorang individu yang melakukan tugasan selama lima minit tanpa henti pada kekunci komputernya dan di tepinya pula terdapat jambangan bunga akan lebih rileks berbanding individu yang hanya mempunyai tumbuhan hijau biasa di tepi komputernya.