Merotan ada caranya ikut Islam




SHAH ALAM - Hukuman rotan merupakan salah satu alternatif yang dibenarkan dalam Islam kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak agar mempunyai akhlak baik.

Pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud berkata, Islam telah meletakkan garis panduan merotan dengan cara yang betul tanpa menyeksa, mencederakan atau meninggalkan kesan kepada kanak-kanak itu sendiri.

“Islam agama yang mementingkan kasih sayang dan dalil dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW turut menyatakan tentang hukuman terhadap kanak-kanak iaitu 'pukullah mereka sekiranya sudah berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan)'.

“Namun, pukul itu bukan bermaksud memukul kanak-kanak itu dalam keadaan marah sehingga mencederakan mereka tetapi dengan cara penegasan penuh kasih sayang agar tidak mengulangi kesilapan mereka,” katanya.

Hassan berkata, sebarang keputusan dilakukan menteri atau kerajaan yang mempunyai hubung kait dengan agama sewajarnya dirujuk kepada pakar agama.

“Kita ada Majlis Fatwa negara, mufti dan alim ulama yang lebih mengetahui tentang agama, mengapa mereka dipinggirkan daripada memberi pandangan?

“(Kerajaan sepatutnya) menjadikan undang-undang yang mahu dilaksanakan berlandaskan syariat Islam,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu memahami hukuman rotan mengikut panduan Islam agar tidak tersalah dalam mendidik anak.

“Dalam keadaan marah, ibu bapa tidak dibenarkan merotan kerana bimbang tindakan tersebut akan menyebabkan kanak-kanak tercedera. Biasanya apabila marah manusia akan bertindak di luar kawalan dan tidak rasional.

“Jadi, pukullah anak-anak ketika kita rasional kerana menghukum itu bukan sewaktu kita marah,” katanya.

Selain itu Hassan berkata, ibu bapa juga perlu mengetahui bahagian tubuh kanak-kanak yang dibenarkan untuk dirotan.

“Jangan sesekali memukul anak-anak di bahagian sensitif dan meninggalkan kesan seperti muka, leher dan lengan. Rotan di bahagian tapak tangan dan tapak kaki tanpa mencederakan mereka kerana kita hanya mahu mendidik mereka,” katanya.


Rotan boleh, mendera guna rotan tidak boleh

Sementara itu, pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Nabila Yusof berkata, dalam mendidik anak-anak, ibu bapa perlu menekankan aspek kasih sayang dan ketegasan.

“Jangan sesekali marah anak-anak (sebelum berumur tujuh tahun) sekiranya mereka melakukan kesalahan tetapi ajar dan sayang mereka kerana pada umur tersebut kanak-kanak hanya perlu dimanjakan dengan kasih sayang.

“Tetapi bagi tempoh tujuh tahun seterusnya, aspek ketegasan perlu ditekankan oleh ibu bapa, sebagai contoh tegas apabila anak-anak tidak menunaikan solat, rotan mereka dan beritahu mereka tentang kebaikan solat,” katanya.

Menurutnya, mendidik menggunakan rotan tidak pernah menjadi satu kesalahan dalam Islam tetapi yang dilarang adalah mendera menggunakan rotan.

"Kebanyakan kanak-kanak yang didera akan terganggu emosinya. Berbeza pula dengan kanak-kanak yang diajar mengikut panduan Islam, sebenarnya rotan mengikut syariat Islam tidak berniat mencederakan tetapi meninggalkan kesan baik untuk akhlak kanak-kanak itu sendiri kerana pukulan daripada seorang ayah dan ibu hanyalah untuk mendidik.

“Apa yang  diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada manusia adalah perkara yang disuruh oleh ALLAH SWT, jadi mengapa pula kita mahu mempertikaikan cara mendidik menggunakan rotan,” katanya.

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay