10HariGST : Warga kota mengeluh harga barang meningkat


#10HariGST : Warga kota mengeluh harga barang meningkat
#10HARIGST : Berikutan beberapa perubahan harga barang selepas pelaksanaan GST, ada dalam kalangan masyarakat terpaksa mengatur semula perbelanjaan kehidupan seharian mereka.
KUALA LUMPUR: Sejak berkuatkuasa pada 1 April lalu,Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)sedikit sebanyak memberi kesan kepada cara perbelanjaan dalam kalangan masyarakat.

Ada yang terpaksa berbelanja lebih, ada juga yang terpaksa mengatur semula perbelanjaan kehidupan seharian mereka berikutan beberapa perubahan harga barang.

Tinjauan Astro AWANI di sekitar ibu kota mendapati kebanyakan mereka kecewa dengan peningkatan beberapa harga barang selepas sepuluh hari pelaksanaan GST.

Bagi pelajar Wan Sabrina, 20, kenaikan caj perkhidmatan prabayar selepas GST adalah satu perkara yang mengecewakan.

“Saya berasa sangat kecewa kerana hari itu saya menambah nilai untuk telefon bimbit sebanyak RM45, kemudian saya dikenakan caj sebanyak RM2.70. Saya rasa perkara ini tidak patut.

"Dengan RM2.70 itu sebenarnya saya boleh membeli sesuatu yang lebih bagus. Contohnya dengan membeli makanan," ujar Sabrina.

BACA: Harga kupon tambah nilai prabayar kembali ke asal bulan depan - Ahmad Maslan

Selain itu pelajar Aishah Aznam, 20, juga mengeluh dengan kenaikan harga makanan di beberapa gerai yang mengakibatkan dirinya terpaksa mengatur semula perbelanjaannya.

“Kalau membeli makanan di kedai seperti kuih muih pun sudah naik harga. Jadi jika mahu membeli makanan untuk kehidupan seharian sebagai pelajar daripada pagi sampai malam tu, kemungkinan kami terpaksa mengurangkan perbelanjaan sedikit.

“Mungkin kami hanya boleh makan sekali sahaja dalam sehari.

"Ada juga dalam kalangan kami akan membuat kerja sampingan untuk menanggung perbelanjaan yang lain seperti duit minyak, memandangkan ada juga antara kami menggunakan kereta sendiri," jelas Aishah.

Bagi ahli peniaga Prema Mathibalan, perbelanjaan kehidupan sehariannya sedikit terganggu selepas GST dilaksanakan.

“Kalau membuat perbelanjaan yang sedikit, mungkin kita tidak terasa sangat (terganggu perbelanjaan).

"Namun jika kita membeli barang-barang yang banyak contohnya untuk mengubah suai rumah sudah tentunya kita terasa terganggu kerana contohnya kita terpaksa membayar lebih sebanyak RM70 atau RM60. Padahal nilai RM60 atau RM70 itu boleh digunakan untuk membeli barangan yang lain. Dari situ kita akan rasa membebankan."

BACA : GST: FOMCA terima 600 aduan pengguna

Walaupun terasa beban dengan cukai ini, Prema berasakan orang ramai juga perlu bekerja keras untuk menjana pendapatan yang lebih baik.

“Jujurnya cukai GST ini membebankan, namun kita harus berusaha keras to menjana pendapatan yang lebih kerana di Malaysia kita ada pelbagai lapisan masyarakat daripada miskin sehingga kaya.

“Jika kita menjana pendapatan yang baik, mungkin kita tidak sangat terasa bebannya seperti mereka yang lain. Namun bagi mereka yang berada di peringkat bawahan, mungkin dia akan rasa lebih membebankan daripada mereka yang berada.

Selain itu, dalam tinjauan yang sama juga, ada juga mengharapkan kerajaan dapat meningkatkan kesedaran mengenai GST supaya orang ramai dapat memahami cukai ini dengan lebih baik.

“Pada pendapat saya, kalau boleh kita mahu tahu apa kesan baik daripada pelaksanaan GST. Kita tidak kisah untuk mengeluarkan duit namun kita mahu tahu apakah impaknya?

“Kita harap impaknya positif contohnya sekiranya dengan GST ini, kita boleh membantu mereka yang berada di luar bandar. Kalau daripada GST itu kita boleh meningkatkan kehidupan luar bandar, bagi kemajuan kepada mereka, tiada salahnya bagi pandagan saya,” kata pekerja swasta, Nordiana Muaidi, 36.


Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay