Tajuk yang agak sensasi dan mengejutkan. Tetapi menurut Dr Erica Mallery-Blythe, seorang pakar di dalam bidang kajian frekuensi radio dan medan elektromagnetik anda harus mengharamkan penggunaan Wifi apabila berhampiran dengan bayi. Saranan penuh kontroversi beliau ini dilakukan selepas menyedari peningkatan kes tumor otak dan masalah pening kepada di kalangan kanak-kanak sejak memulakan kajian pada tahun 2009.
Beliau menggunakan kes yang ditemui beliau pada tahun 2011. Seorang pelajar merungut kerap pening kepala dan lelah tubuh badan apabila di sekolah. Sekembalinya di rumah masalah ini hilang serta merta. Ibu bapa pelajar kemudian menyedari masalah yang sama dialami kanak-kanak lain dan WiFi di sekolah dipersalahkan. Mereka menyedari terdapat router Wifibersebelahan meja anak mereka. Pihak sekolah enggan menghentikan penggunaan WiFi dan pelajar ini kini terpaksa bersekolah dari rumah untuk menjamin kesihatan beliau.
Tidak seperti manusia dewasa, kanak-kanak di bawah usia 5 tahun mempunyai tengkorak yang 60% lebih nipis. Tubuh mereka juga mempunyai peratusan air yang lebih tinggi. Ini menurut pandangan sesetengah saintis membuatkan mereka lebih terkesan oleh gelombang WiFi dan juga telefon mudah alih. Buat masa ini masih tidak ada bukti muktamad yang mengatakan terdapat hubungan di antara peningkatan kes tumor otak di kalangan kanak-kanak dengan peningkatan pendedahan kepada Wifi dan gelombang selular.
Sungguhpun begitu Februari lalu kerajaan Perancis telah mengharamkan penggunaan WiFi di sekolah tadika. Pada masa yang sama penggunanya di sekolah rendah diarahkan supaya dikurangkan. Sebuah badan kesihatan Eropah pernah melobi supaya penggunaan telefon mudah alih dan WiFi diharamkan terus di sekolah pada tahun 2011. Di Jerman pula menara sel telekomunikasi diharamkan dari didirikan dalam lingkungan 100 meter dari kawasan sekolah. Yang agak mengejutkan ialah sebuah komputer riba menghasilkan kadar radiasi dua kali ganda lebih tinggi berbanding menara sel telekomunikasi dari jarak 100 meter.
Mengapa baru sekarang kita melihat masalah kesihatan wujud pada kanak-kanak sedangkan teknologi selular dan WiFI bukanlah perkara yang baru? Menurut Dr Mallery-Blythe ini adalah kerana jumlah peranti mobil dan WiFi yang meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ni. Beliau turut mendakwa alam sekitar kini dipenuhi 10 Billion kali ganda gelombang frekuensi radio berbanding dekad 60an. Majoriti kajian tentang kesan frekuensi radio terhadap tubuh manusia dilakukan sebelum letusan penggunaan peranti mudah alih dan WiFi seperti sekarang. Kajian baru perlu dilakukan bagi melihat kesan jangka panjangnya terhadap manusia.
Sekiranya anda risau dengan kesan jangka panjang penggunaan telefon mudah alih dan WiFi terhadap anda dan keluarga anda Dr Mallery-Blythe menyarankan beberapa perkara. Pertama sekali hanya gunakan WiFi di rumah sekiranya perlu. Letakkan juga peranti anda di dalam mod kapal terbang apabila tidak diperlukan. Beliau sendiri mengambil langkah extrem dengan tidak menggunakan sebarang telefon mudah alih dan menggunakan kabel LAN pada komputer untuk melayari web.
Sememangnya berita yang agak merisaukan.Harus diingatkan pada dekad 50an ada pakar perubatan yang mengatakan menghisap rokok akan membuatkan anda lebih sihat. Syarikat tembakau juga menyalurkan dana kepada saintis untuk menyangkal kaitan kanser paru-paru dengan tabiat menghisap rokok. Kita kini tahu memang menghisap rokok membawa mudarat. Adakah anda akan turut paranoid seperti Dr Mallery-Blythe dan berhenti menggunakan WiFi dan telefon mudah alih sepenuhnya? Bincangkan di ruangan komen di bawah. - Amanz