Ikan gergasi mati tersadai bawah jambatan Sungai Johor




Kota Tinggi: Seekor ikan naga atau nama saintifiknya arapaima gigas dijumpai mati di tebing bawah jambatan Sungai Johor berhampiran Balai Trafik Lama Jalan Omar-Jalan Tembioh, di sini, kelmarin.

Ikan gergasi air tawar terbesar di dunia berasal dari Amazon, Amerika Selatan berukuran dua meter itu ditemui seorang penduduk yang kebetulan berada di tebing sungai berkenaan jam 6.30 petang.
Menurut Roslan Sanif, 48, dia mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada bangkai ikan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan punca kematiannya.
Katanya, dia dan beberapa kaki pancing yang berada di situ ketika bangkai ikan ditemui terkejut kerana tidak menyangka sungai berkenaan turut dihuni spesies yang berasal dari Amazon itu.
"Memang ada kaki pancing yang bercerita umpan mereka pernah disentap ikan besar yang mempunyai badan kemerahan, tetapi tidak menyangka ia adalah arapaima," katanya.
Katanya, bantuan daripada empat lelaki dewasa terpaksa digunakan untuk membawa ikan itu naik ke darat, sekali gus menarik perhatian orang ramai yang terkejut melihatkan saiz yang besar.
"Berkemungkinan ikan itu terlepas dari kolam peliharaan individu ketika banjir besar pada 2006/2007 atau pemiliknya melepaskannya ke sungai kerana tidak mampu menjaganya," katanya.
Seorang penduduk Abdul Nasir Mohamed, 28, berkata, pihak berkaitan perlu melakukan siasatan untuk mengetahui bagaimana ikan pemangsa itu boleh berada di sungai berkenaan.

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay