Zero Mahu Bawa Emak Ke Umrah Selepas Menang RM500,000



Selepas tiga belas minggu bertanding, gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) jadi milik kumpulan Zero apabila mereka diumumkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini.

Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000 serta trofi sumbangan Astro. Gelaran naib juara pula dimenangi oleh Sepahtu yang disertai oleh Jep dan Shuib. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Sementara itu peserta solo, Nabil mendapat tempat ketiga dan beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi. Jep Sepahtu pula memenangi kategori Man of the Match.



Juara MLM 2014, kumpulan Zero memberitahu bahawa hasil wang kemenangan mereka yang bernilai RM 500,000 itu akan menghantar ibu mereka untuk menunaikan haji di Mekah, dan seterusnya akan digunakan untuk membuat rumah dan selebihnya akan digunakan untuk perkahwinan Syaiful atau ‘Melati’.



“Ada tiga perkara yang akan dibuat iaitu akan hantar emak menunaikan Haji di Mekah. Kedua mahu membuat rumah dan ketiga mungkin digunakan untuk persiapan perkahwinan Syaiful,” kata Sharif sambil berseloroh.

Sharif turut menafikan kisah kehidupan mereka 3 beradik dijadikan sebagai taruhan untuk memancing pengundi. Baginya mereka sekiranya tidak bergelar juara, mereka tetap mahu untuk menunaikan hajat keluarga.

“Benda ini semua rezeki. Tak kira kalau dapat nombor berapa atau tersingkir sekali pun kami tetap mahu tunaikan hajat buat keluarga,” tambahnya. (rtky/hfz)

Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay