KUALA LUMPUR 8 Feb. - Selepas 10 tahun menyepi, Sufiah Yusof, 31, yang dahulu merupakan kanak-kanak pintar Matematik dan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun tetapi menggemparkan dunia apabila menjadi pekerja seks, muncul dalam rancangan Nona terbitan TV3 bagi berkongsi pengalaman hidupnya.
Sufiah yang tidak memaklumkan tempat tinggalnya kini, turut berkongsi kisah hitam yang ditempuhi pada 2008 apabila terpaksa menjadi pekerja seks di flat murah yang didiaminya di Salford, Manchester untuk menyara kehidupan selama beberapa tahun.
Mengakui tertekan kerana diburu wartawan pada masa itu, dia memberitahu dapat menanganinya dengan baik.
“Memang betul, saya terlibat dengan industri seks selepas gagal dalam perkahwinan dengan pelajar undang-undang, Jonathan Marshal pada 2004. Mereka (wartawan) cuba memberi dadah dan menyuruh saya menanggalkan pakaian supaya dapat merakamkan secara rahsia aksi saya di atas katil.
“Walaupun anda tidak bersetuju dengan pekerjaan saya tetapi cara itu adalah tidak adil sama sekali. Malah, ketika saya menjadi buruan media, ia adalah satu keadaan yang tidak masuk akal dan setiap hari saya menerima pelbagai e-mel berbentuk ugutan.
“Ia sengaja diperbesarkan dan ini agak menakutkan saya yang masih remaja ketika itu,” katanya dalam rakaman temuramah rancangan berkenaan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keluarganya, Sufiah menjelaskan, mereka jarang berhubung dan hubungan mula renggang sewaktu usianya mencecah 15 tahun akibat tiada inspirasi dan nilai persaudaraan yang sama.
“Saya selesa dengan cara hidup sekarang dan tinggal dengan rakan-rakan. Semakin dewasa, saya lebih memahami dan semua orang tidak mempunyai nilai dan aspirasi yang sama.
“Setiap orang bebas membuat pilihan selain mampu menangani setiap permasalahan dengan pilihan yang dibuat. Saya tidak bermaksud masyarakat setuju dengan apa yang saya lakukan kerana mereka bebas menjalani kehidupan yang dimahukan,” katanya.
Sufiah memberitahu, dia bersetuju temuramah itu disiarkan kerana sudah lama tidak bercakap dengan media dan mahu laporan lebih baik berkenaannya dikongsi bersama masyarakat.
“Saya faham ketika itu ramai yang mengambil berat dan memberi sokongan walaupun tidak mengenali saya.
“Ketika menjadi buruan pada 2008, saya tahu terdapat rakyat Malaysia yang prihatin dan amat menghargainya,” katanya.