KUALA LUMPUR: Penyanyi yang pernah terkenal dengan lagu “Getaran”, Famiza Zulkifli meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi akibat masalah jantung.
Sinonim dengan nama komersil Famieza pada era 80-an penyanyi berusia 43 tahun dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.20 malam.
Bakat Famiza mula diasah ketika berusia 16 tahun dan beliau mula mendapat perhatian peminat menerusi pertandingan Bintang RTM pada tahun 1988.
Kulit album, 'Getaran' yang pernah dirakamkan Famiza sekitar era 80an. - Sumber Foto Facebook
Tidak lama selepas itu, Famiza menemui pasangannya dan berkahwin sekaligus membuat keputusan meninggalkan karier seni walaupun namanya ketika itu sedang berada di kemuncak.
Keputusan itu turut membuka hatinya dan menjadi titik-tolak kepada perubahannya menjadi seorang yang taat pada agama.
Setelah meninggalkan karier nyanyian, penyanyi yang berasal dari Terengganu itu melibatkan diri dalam bidang kecantikan dan produk-produk halal sebagai Pengarah Urusan Muslimah Manufacturing Sdn. Bhd.
Biarpun hanya popular menerusi lagu “Getaran”, nama Famiza serta suara merdunya masih terpahat di hati peminatnya.
Jenazah Famiza dijangka dikebumikan di Gombak pada hari ini.