Menyambung warisan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz - Hadi Awang


PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) kehilangan tokoh penting yang kembali mengadap Pencipta, Allah azza wajalla iaitu al-Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sesungguhnya pemergian Almarhum kerahmatullah adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti khususnya kepada PAS dan amnya kepada negara serta seluruh umat Islam.

Almarhum adalah pemimpin, guru, bapa dan sahabat yang telah mendamba dan memperhambakan diri kepada al-Khaliq dengan teguh menyambung usaha Rasulullah SAW dan para Nabi menegakkan risalah agama ini.

Dunia dan umat kurun ini telah menyaksikan, bahawa Almarhum telah meletakkan bumi Serambi Makkah yakni Kelantan ke peta dunia dalam istiqamahnya beliau memartabatkan Islam di negeri itu.

Almarhum juga negarawan di mana telah melakar sejarah sejak usia mudanya bersama PAS untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, sebagaimana nyata di dalam Perlembagaan PAS.

Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga seorang ulama yang tekun menyebar aqidah Islam dan bertegas terhadap semua idealogi asing.

Pemergian Almarhum telah meninggalkan tapak kukuh dan jasa yang mesti dilangsungkan oleh generasi Islam hari ini dengan itqan sebagaimana telah diteladaninya.

Antaranya untuk melaksanakan Enakmen Syariah dalam perundangan negeri Kelantan, menjadi amanah dan warisan yang wajib disambung.

Semoga roh Almarhum berbahagia di sisi Allah dan dipertemukan dengan roh Rasulullah yang dicintanya sepanjang hidup.

Saya merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta para pendokong dan penyokong PAS semoga kita redha dan sama-sama bersabar menghadapi saat-saat sukar ini.

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS


Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay