PAHANG sememangnya layak menyandang gelaran sebagai King of Come Back apabila berjaya memenangi aksi sulung Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dengan menewaskan wakil
Myanmar Yadanarbon FC 3-2 di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar kelmarin.
Malah pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan (gambar kecil) menganggap ia sebagai tuah kepada pasukan mereka sambil memberi pujian kepada semangat anak buahnya yang tidak pernah kenal erti berputus asa dalam menyerap tekanan tinggi ketika situasi genting pada perlawanan tersebut.
Kata Zainal, kredit perlu diberikan kepada pemain sayap, R. Gopinathan yang bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol, sekali gus memperoleh tiga mata penuh berharga.
“Saya akui memang berdebar melihat sorotan perlawanan semalam (kelmarin). Pahang mendahului lawan sebanyak dua kali sebelum lawan berjaya menjaringkan gol penyamaan.
“Jelas kesilapan pemain yang mudah hilang fokus berjaya dimanfaatkan pasukan tuan rumah. Pemain tengah dan penyerang pula seperti hilang sentuhan untuk mencipta gol.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi mereka, ada peningkatan yang ditunjukkan dan yang lebih manis, kita menang untuk kali pertama tahun ini (Liga Super dan Piala AFC),” katanya semalam.
Gopinanthan menjadi wira Pahang selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 2-2.
Penyerang import Tok Gajah, Dickson Nwakaeme menjaringkan dua gol untuk memberi kelebihan kepada Pahang sebelum berjaya diikat oleh pasukan tuan rumah.
Mengulas mengenai kad merah yang diterima oleh kapten, Mohd. Razman Roslan beliau berkata, keputusan pengadil adalah muktamad dan beliau menyifatkan ia berlaku selepas pemain itu kurang berhati-hati.
Bagaimanapun, beliau berharap pemain penting itu dapat beraksi dalam perlawanan pertama Piala FA menentang Johor Darul Takzim, Isnin depan.
“Saya tak pasti sama ada digantung atau tidak, kena periksa terlebih dahulu. Razman penting untuk perlawanan tersebut,” katanya.