Bagi para pengguna peranti Android, terutamanya peranti berspesifikasi pertengahan, anda mungkin akan merasai peranti anda menjadi semakin perlahan atau mengalami sela masa setelah digunakan beberapa bulan. Perkara ini mungkin kerana beberapa perkara, termasuk kerana fail storan yang semakin bertambah, selain fail berbentuk cache yang disimpan pada peranti.
Anda boleh menjadikannya kembali pantas seperti pada asalnya dengan melakukan beberapa perkara asas.
Membuang Aplikasi Yang Tidak Digunakan
Seperti biasa, salah satu perkara utama yang boleh dilakukan adalah membuang aplikasi yang tidak digunakan. Saya sendiri sering memasang pelbagai aplikasi baru untuk mencuba, dan tidak membukanya untuk beberapa bulan. Aplikasi seperti ini boleh dibuang daripada peranti anda sekaligus menjimatkan lagi ruangan dan memori yang digunakan pada peranti anda.
Untuk membuang sesuatu aplikasi, anda hanya perlu membuka talam aplikasi, dan seterusnya tap pada ikon aplikasi yang ingin dibuang untuk seketika, dan seterusnya menarik ikon berkenaan kepada bahagian yang dinamakan sebagai “Uninstall”. Aplikasi berkenaan akan dipadam daripada peranti anda, tetapi tidak perlu risau memandangkan anda masih boleh memuat-turunnya pada bila-bila masa daripada Google Play Store.
Gunakan Launcher Seperti Google Launcher atau Nova Launcher
Kadang-kala, sesuatu peranti tersebut mengalami sela masa yang tinggi disebabkan oleh kesan grafik yang digunakan oleh tema antaramuka pada telefon berkenaan. Anda boleh menggantikan ia dengan menggunakan launcher daripada pihak ketiga, dimana antara yang popular adalah daripada Google sendiri dinamakan Google Launcher, ataupun turut popular adalah Nova Launcher.
Saya lebih mengemari Nova Launcher, dimana selepas memasangnya, anda boleh mengawal pelbagai perkara, termasuk kesan animasi, aplikasi yang dipaparkan dan sebagainya – sekaligus mengurangkan penggunaan kuasa pemprosesan berbanding tema asal seperti TouchWiz.
Membuang Cache Yang Tidak Digunakan
Pelbagai aplikasi Android menyimpan data dalam bentuk cache untuk menjadikan anda membuka sesuatu aplikasi dengan pantas, dan pada masa yang sama tidak menggunakan data yang tinggi. Memandangkan mungkin anda ada membuang sejumlah aplikasi yang tidak digunakan, maka data-data cache untuknya turut akan disimpan – yang mana anda boleh membuangnya dan mendapatkan ruangan storan tambahan.
Terdapat beberapa aplikasi yang memudahkan proses ini dan melakukannya secara berkala, seperti Clean Master dan juga CCleaner.
Tetapi, jika anda ingin melakukannya secara manual, anda boleh ke halaman Settings > Storage, dan tap pada Cached Data untuk membuang data yang disimpan padanya.
Pindahkan Gambar Lama Untuk Simpanan Di Komputer
Kadang-kala, peranti anda akan menjadi sedikit lambat apabila storan padanya dipenuhi. Salah satu perkara yang anda boleh lakukan untuk mengosongkan storan pada peranti adalah dengan memindahkan sejumlah gambar yang dirakamkan oleh anda ke komputer untuk digunakan pada masa akan datang.
Ketika memindahkan fail-fail anda, anda turut boleh menyemak folder Downloads pada peranti anda untuk turut melihat fail-fail yang telah dimuat-turun anda dan tidak digunakan.
Jika pelbagai kaedah ini masih gagal untuk mengembalikan peranti anda dalam keadaan dan prestasi seperti pada asalnya, anda boleh memilih untuk membuat Factory Data Reset – tetapi pastikan anda telah membuat salinan pendua untuk pelbagai fail dan data pada peranti. Sebaik sahaja ia selesai, anda boleh memulakan kembali peranti anda seperti keadaan asal, dan memilih data yang ingin di sync serta aplikasi yang ingin dipasang.-amanz.my