Rozana didakwa larikan anak


Saat-saat bahagia Rozana dan Awie bersama tiga anaknya.


KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Wings, Awie mendakwa dua orang anaknya, Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha dilarikan isterinya, Rozana Misbun dari sekolah pada awal Februari lalu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, mendakwa, kedua-dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, ‘hilang’ pada 9 Februari lalu semasa mereka berada di sekolah.
Dakwa penyanyi rock itu, kedua-dua anaknya itu disyaki dilarikan sekumpulan lelaki yang pergi ke sekolah mereka itu bersama Rozana tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
“Saya agak terkilan dengan tindakan mereka itu yang mengambil anak-anak saya begitu sahaja kerana ia merupakan satu tindakan kurang ajar dan tidak bertamadun.
“Sejak itu, saya juga dihalang untuk bertemu kedua-dua anak saya di rumah Rozana dan lebih merisaukan, mereka tidak dihantar ke sekolah untuk meneruskan pelajaran,” dakwa Awie ketika ditemui selepas pelancaran album Live Wings Rockestra@Istana Budaya dan aplikasi telefon pintar Wings Mobile App di sini semalam.
Bagaimanapun, menurut Awie, seorang lagi anaknya hasil perkongsian hidup dengan Rozana, 37, Putra Ahmad Merrah, 8, masih tinggal bersamanya di Ukay Perdana dekat sini.
“Sebenarnya, saya juga bimbang perkara tersebut turut berlaku ke atas seorang lagi anak saya, Putra Ahmad Merrah sehingga saya terpaksa memberhentikan dia dari sekolah dan cuba memohon untuk bersekolah dari rumah,” jelasnya yang sedih dengan kejadian itu.


Jadual Bertugas Deejay

Jadual Bertugas Deejay